Ringkasan hidup Jules_Verne

Awal hidup

Jules Gabriel Verne lahir pada 8 February 1828 di Île Feydeau, sebuah pulau buatan atas Sungai Loire dalam baadar Nantes.[4] Ayahnya Pierre Verne, merupakan peguam berasal dari Provins manakala ibunya, Sophie Allote de la Fuÿe, datang dari keluarga nakhoda dan pemilik kapal berketurunan Scotland.[5][lower-alpha 1]

Pada usia 19 tahun, beliau mula mengambil minat dalam penulisan panjang seperti yang diilhamkan penulis idolanya, Victor Hugo. Ayahnya pula lebih mahukan Jules mewarisi firma guaman keluarga mereka sebagai anak sulung.[6] Pada 1847, Jules dihantarkan ayahnya ke Paris, untuk mekanjutkan pengajiannya dalam bidang perundangan dan guaman.[7][8]

Dalam pengajian

Verne tiba di Paris sewaktu Revolusi Perancis 1848 yang membawa keadaan politik yang menggentingkan dalam negara Perancis dengan banyak tunjuk perasaan yang berlaku di merata-rata tempat, lebih-lebih lagi beberapa ketika sebelum pelantikan Louis-Napoléon Bonaparte sebagai Presiden pertama Republik Kedua. Beliau turut dimasukkan dalam senarai bakal kerahan tentera Perancis, namun beliau "diselamatkan" dalam proses pengisihan calon tersebut, apatah lagi dengan beliau mempunyai sentimen anti-perang serta menganggap pekerjaan askar itu sebagai suatu keadaan yang tidak bermaruah.[9][9]

Memasuki alam penulisan

Beliau kerap mengunjungi salon-salon di Paris ketika pengajiannya di Paris, beliau mengenali penulis terkenal Alexandre Dumas melalui salah satu kunjungan ini pada tahun 1849.[10] Verne turut bersahabat dengan anak Dumas di mana mereka menulis bersama pementasan komedi Les Pailles rompues yang dilangsungkan di Opéra-National Paris pada 12 Jun 1850.[11]

Pada 1851, Jules menemui Pierre-Michel-François Chevalier, seorang penulis sekampungnya di Nantes yang juga seorang editor majalah Musée des familles.[12] Chevalier mahu mencari sebarang rencana mengenai geografi, sejarah dan pengetahuan sains yang bisa dipasarkan untuk bacaan orang ramai menggunakan medium penceritaan cereka. Verne berminat akan tawaran Chevalier lalu menghanrtarkan suatu kisah pengembaraan pertamanya "L'Amérique du Sud. Etudes historiques. Les Premiers Navires de la Marine Mexicaine"[12] yang diterbitkan pada Julai tahun itu serta "Cinq Semaines en ballon" pada bulan berikutnya. Kisah kedua inilah yang mendorong gaya penulisan yang diikuti beliau sepanjang kerjayanya.[13] Di tahap ini jugalah Verne memutuskan jua meneruskan minatnya dalam bidang penulisan sehingga menolak habis-habisan tawaran pekerjaan dalam firma guaman ayahnya.[14]

Senja hidup

Jules memasuki alam politik pada 1888 di mana beliau dilantik sebagai ketua majlis perbandaran Amiens, beliau menggalakkan beberapa pembaharuan dalam infrastruktur bandar tersebut selama beliau berkhidmat di bandar itu selama 15 tahun.[15] Beliau dianugerahkan dengan darjah Chevalier de la ("Kesateria") Légion d'honneur pada tahun 1870. Beliau dinaikkan pangkat ke tahap Officier (Panglima) pada tahun 1892.

Jules meninggal dunia pada 24 Mac 1905 akibat komplikasi menghidap diabetes di kediamannya di Amiens, 44 Boulevard Longueville. Anaknya Michel menguruskan penerbitan novel-novel terakhir yang ditulis beliau - Invasion of the Sea dan Le Phare du bout du monde.